Kereta Honda CRV jadi stor simpan ganja

Oleh – Syeikh Baran


Kereta Honda CRV jadi stor simpan ganja
Hamzah (gambar) ketika sidang akhbar rampasan ganja di IPK Pulau Pinang, hari ini.

Taktik licik seorang penganggur yang menjadikan kereta miliknya sebagai stor menyimpan dadah jenis ganja terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di kawasan parkir apartment di Gat Lebuh Maccalum di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan di kawasan parkir motosikal di apartmen berkenaan.



“Hasil pemeriksaan awal menemui dua ketulan mampat ganja seberat hampir dua kilogram (kg) bernilai RM6,000 bersama suspek.

”Kemudian dengan dipandu arah oleh suspek, polis memeriksa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang terletak 500 meter dari lokasi suspek ditahan dan menemui empat kotak plastik di tempat duduk penumpang.

”Polis menemui 98 ketulan mampat ganja seberat 98 kilogram yang bernilai RM303,000 yang disimpan di dalam kotak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berkenaan mula menjalankan kegiatannya sejak awal bulan ini dan menjadikan kereta tersebut sebagai stor penyimpanan dadah.



”Kereta ini memamg tidak bergerak dan ia diletakkan dibahagian parkir apartmen ini. Apabila ada pelanggan mahu membeli dadah,suspek akan menunjukkan dadah yang berada di dalam kereta ini dan apabila pelanggan bersetuju dia akan terus menjual dadah kepada mereka,” katanya.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan suspek yang mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini nanti bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button