Mana-mana syarikat bumiputera boleh mohon AP Terbuka mulai 1 Julai

Mana-mana syarikat bumiputera boleh mohon AP Terbuka mulai 1 Julai

Mana-mana syarikat bumiputera boleh mohon AP Terbuka mulai 1 Julai
Menara MITI.

Kuala Lumpur: Mana-mana syarikat bumiputera, termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif, boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan langkah itu adalah selaras dengan usaha MITI untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Selasa.



MITI memaklumkan bagi syarikat bumiputera yang berminat, syarat utama ialah berstatus sendirian berhad, pemilikan 100 peratus bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Justeru, syarikat bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan boleh merujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796 bagi mendapatkan garis panduan, borang permohonan dan senarai semak.


MITI menambah objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasakan agenda sosio-ekonomi bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing untuk terlibat dalam sektor automotif.

Menurut kementerian itu, dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 telah berjaya melahirkan syarikat bumiputera yang berdaya maju, bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan malah juga dalam aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Dasar tersebut merupakan antara dasar berkaitan bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang ditetapkan Dasar Ekonomi Baharu.

Mana-mana syarikat bumiputera boleh mohon AP Terbuka mulai 1 Julai


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Perlukah Perdana Menteri Yang Umumkan Penurunan Harga Telur



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button