Padah tiada permit bawa penumpang balik raya

Oleh – Syeikh Baran


Padah tiada permit bawa penumpang balik raya
Antara bas yang ditahan JPJ Selangor selepas didapati membawa penumpang tanpa LPS sempena Hari Raya Aidiladha.

Tindakan tiga pemilik bas termasuk menggunakan permit bas sekolah bagi mengaut keuntungan dengan membawa penumpang balik kampung sempena perayaan Aidiladha tanpa lesen berjaya dibongkar dalam Operasi Hari Raya AidilAdha (Ops HRAA), di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, baru-baru ini.

Dalam operasi Kenderaan Perkhidmatan Awam yang bermula pada pukul 9.30 malam, Jumaat lalu didapati kesemua bas yang membawa 95 penumpang keseluruhanya tidak mempunyai Lesen Perjalanan Sementara (LPS).



Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, berdasarkan semakan mendapati bas pertama yang diperiksa merupakan bas yang memiliki permit bas henti-henti.

Katanya, ia melakukan perjalanan dari Shah Alam ke Teluk Intan, Perak dengan membawa seramai 30 penumpang.

“Pemeriksaan kedua pula melibatkan bas persiaran dan turut mengejutkan bagi bas ketiga menggunakan permit bas sekolah.

“Kedua-dua bas ini yang membawa kesemua 65 penumpang tersebut akan bertolak ke Kota Bharu, Kelantan dari daerah ini sempena Hari Raya Aidiladha,” katanya ketika dihubungi hari ini.



Susulan itu, kata beliau, pihaknya menyita permit ketiga-tiga bas tersebut bagi tujuan siasatan lanjut.

Manakala pemilik kenderaan akan dipanggil hadir ke JPJ daerah ini untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22 dan 41 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button