Budi Madani: Kerajaan lulus 100,000 permohonan
Oleh – Syeikh Baran
Kementerian Kewangan telah meluluskan sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel individu, petani dan pekebun setakat hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor layak dan golongan masyarakat memerlukan.
“Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.
“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel bulan Jun,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai Budi Madani bermula pada bulan permohonan dibuat.
“Seramai 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun, diikuti oleh 46,000 pemohon yang menerima bayaran pada hari ini.
“Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai 2024,” jelasnya.
Katanya lagi, pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional.
Inisiatif Budi Madani yang dibuka sejak 28 Mei 2024 adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel.
Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi Individu.
Manakala, hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.
Sumber – KOSMO! ONLINE