Dua pasangan suami isteri tak mengaku miliki barang kemas Kieda Crepe

Oleh – Syeikh Baran


Dua pasangan suami isteri tak mengaku miliki barang kemas Kieda Crepe
Empat tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah miliki barang kemas (kanan) Kieda Crepe ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Dua beradik bersama suami masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu barangan kemas seberat 247.65 gram milik pempengaruh dan pengusaha dessert, Kieda Crepe.

Tertuduh, Nurul Hidayah Mahat, 24, dan suaminya, Muhammad Ezwan Syafiq Joha, 27, serta Endang Nur Nabila, 22, dan suami, Muhammad Afizan Abdullah, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.



Mereka didakwa dengan niat curang menyimpan harta menerusi rompakan berkumpulan iaitu dua utas rantai leher, dua utas gelang tangan kepunyaan Siti Nur Khalieda Yusra Mohd. Jais.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Aman, Kepala Batas, di sini pada pukul 9 malam, 25 April lalu mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali tidak menawarkan jaminan terhadap keempat-empat tertuduh, bagaimanapun peguam Ranjit Singh Sandhu merayu jaminan minimum.

“Nurul Hidayah dan adiknya, Endang Nur Nabila menghidap penyakit kencing manis kronik. Muhammad Afizan pula menghidap penyakit asma dan saya mohon budi bicara mahkamah untuk menawarkan jaminan,” katanya.



Hakim Noor Aini kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM18,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Noor Aini turut mengenakan tambahan iaitu kesemua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan, menyerahkan pasport dan dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sumber  – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button