Hantar barang dari KL ke Pulau Pinang guna pembalut ayat al-Quran
Oleh – Syeikh Baran
Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian beberapa bungkusan barangan yang dibungkus dengan pembalut yang mempunyai ayat-ayat suci al-Quran, minggu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan berkaitan kejadian itu juga telah lengkap dan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya.
“Polis ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan, kertas siasatan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di laman Telegram gambar bungkusan yang dipercayai dihantar Rabu lalu oleh sebuah syarikat percetakan dari Cheras, Kuala Lumpur ke Air Itam, di sini yang dibungkus menggunakan kertas yang mengandungi ayat al-Quran.
Susulan itu, pemandu syarikat kurier yang menerima bungkusan tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Lepas, di sini.
Sumber – KOSMO! ONLINE