Perit tempuh 10 jam perjalanan balik ke ibu kota
Oleh – Syeikh Baran
Seorang perantau dari Kedah terpaksa menempuh 10 jam perjalanan untuk pulang ke kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur ekoran kesesakan lebuh raya yang teruk selepas berakhirnya sambutan Hari Raya Aidiladha, semalam.
Menurut pekerja swasta, Nur Azimah, 26, tempoh perjalanan pulang dari Gurun ke Cheras mengambil masa selama 10 jam.
‘Walaupun saya sudah terbiasa dengan perjalanan yang lama, namun berada di dalam kenderaan selama 10 jam tetap perit kerana saya sering merasa loya dan pening (mabuk kereta).
“Saya juga selalu sakit perut dan mudah membuang air, jadi itu perkara yang paling saya tidak suka apabila terpaksa menahan selama 30 minit untuk sampai ke Kawasan Rehat dan Rawat (RNR).
“Siapa sahaja yang tak bosan duduk dalam kereta hadap jam? Perkara ini mesti ramai yang buat iaitu menyanyi dan berborak kisah-kisah lawak kerana ini juga dapat membantu pemandu untuk sentiasa cerdas dan elak mengantuk,” katanya.
Tambahnya, dia dan keluarga telah berhenti makan dan berehat sebanyak lima kali dan memberi masa kepada pemandu untuk melelapkan mata seketika.
“Kali ini saya dapat makan dengan tenang sedikit walaupun masih ramai berbeza dengan musim syawal, kedai dan meja dikerumuni orang awam jadi saya dan keluarga terpaksa berehat dan menjamu selera di dalam kereta sahaja pada waktu itu,” ujarnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Aliya Zahra Hisyam, 30, turut mengharungi kesesakan lalu lintas dengan tempoh lima jam dari Temerloh, Pahang ke Klang, Selangor.
“Saya dan anak kecil yang berusia dua tahun penat dan lapar mengalahkan pemandu, inikan pula suami saya yang bertahan mata dan tenaga untuk memastikan perjalanan kami selamat sampai ke rumah.
“Kebiasaanya kalau balik rumah di Klang, perjalanan memang akan sangat lama, jangankan musim raya, nak balik kerja pun makan masa sehingga dua jam ibarat pergi ke negeri orang,” katanya
Sumber – KOSMO! ONLINE