‘Saya tidak faham, saya tak pernah ada senjata api’

Oleh – Syeikh Baran


‘Saya tidak faham, saya tak pernah ada senjata api’
Radin Imran (tengah) mahu membela dirinya sendiri tanpa khidmat peguam semasa perbicaraan diri dan ahli keluarganya.

Bapa suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini bulan lalu mahu membela diri tanpa menggunakan khidmat peguam ketika perbicaraan.

Tertuduh, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62, berkata demikian selepas pertuduhan pertama daripada empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.



“Saya mahu bela diri sendiri,” katanya selepas dibacakan pertuduhan atas kesalahan menanamkan ideologi keganasan berkaitan Islamic State (IS) terhadap ahli keluarganya.

Radin Imran juga kelihatan keliru selepas pertuduhan dibacakan kerana beranggapan perlu membuat pengakuan bersalah.

“Saya tidak faham pertuduhan sebab sejak 2014, saya sudah ajak keluarga mengasingkan diri (daripada masyarakat),” katanya.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim kemudian menjelaskan prosiding hari ini hanya membaca pertuduhan terhadap kelima-lima tertuduh.



“Hari ini hanya baca pertuduhan dan kes akan dibicarakan pada tarikh lain,” kata hakim itu.

Radin Imran sekali lagi memaklumkan dia keliru apabila pertuduhan kedua dibacakan atas kesalahan menyokong kegiatan pengganas dengan menyimpan empat senapang angin buatan sendiri

“Saya tidak faham. Saya tak pernah ada senjata api,” katanya.

Che Wan Zaidi kemudian sekali lagi menjelaskan bahawa prosiding hari ini hanya bacaan tanpa sebarang pengakuan bersalah.



Radin Imran kelihatan memahami prosedur mahkamah dengan mengangguk tanda faham bagi dua lagi pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.

Ahli keluarganya iaitu Radin Romyullah, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina, 23, dan Mariah, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.

Terdahulu, Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini dikawal ketat pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah seawal pukul 8 pagi. Hujan lebat mengiringi ketibaan kesemua tertuduh yang menaiki kenderaan secara berasingan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button