29 kemalangan maut dicatat dua hari Aidiladha

Oleh – Syeikh Baran


29 kemalangan maut dicatat dua hari Aidiladha
Gambar hiasan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 29 kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tempoh dua hari pada Hari Raya Aidiladha di seluruh negara.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, sebanyak 2,976 kes kemalangan keseluruhan dicatat pada Isnin dan Selasa lalu.



Katanya, jumlah kemalangan secara keseluruhan melibatkan 3,818 buah kenderaan.

“Pada Isnin, JSPT menerima 1,158 kes kemalangan membabitkan 11 kematian, manakala hari berikutnya terus meningkat dengan 1,818 kes dan 18 kematian.

“Statistik merekodkan peningkatan 660 kes dan tujuh kematian dalam tempoh dua hari itu,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pengguna jalan raya perlu sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan selain mesti bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas.



“Pengguna jalan raya dinasihat supaya sentiasa mengikut peraturan ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu, JSPT memaklumkan akan menyiarkan statistik kes kemalangan jalan raya dan kematian secara harian, bermula 15 Mac.

Penyiaran data statistik kepada umum adalah langkah meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai mengenai betapa seriusnya kes kemalangan jalan raya yang berlaku pada setiap hari.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button