Jurulatih tarian mengaku tak salah amang seksual murid lelaki

Oleh – Syeikh Baran


Jurulatih tarian mengaku tak salah amang seksual murid lelaki
Kompleks Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang.

Seorang jurulatih tarian yang juga penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki, Julai tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.



Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun yang mana mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak tersebut sebagai jurulatih tarian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di kuarters guru sebuah sekolah menengah di Seberang Perai Utara, kira-kira pukul 10.30 malam, 6 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16 itu iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebat tidak kurang daripada dua sebatan.



Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin sekali gus menetapkan 29 Julai depan sebagai sebutan semula bagi serahan laporan perubatan.

Tertuduh yang dipercayai ditemani ahli keluarganya telah membayar jaminan yang dikenakannya, pagi tadi.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button