Kilang suplemen kecantikan diserbu guna logo halal tak sah
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah kilang suplemen kecantikan diserbu kerana disyaki menggunakan logo halal tidak sah pada produk jualannya dalam kejadian di Pokok Sena, dekat sini semalam.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta.
Katanya, operasi bersepadu itu dilakukan KPDN Alor Setar bersama Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
“Lokasi serbuan merupakan sebuah premis rumah kedai di kawasan Pokok Sena. Premis berkenaan disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya berupa suplemen kecantikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut bukan pemegang sijil halal yang diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
“Pemeriksaan lanjut mendapati premis itu telah menggunakan logo halal pada setiap label pek bungkusan pelbagai jenis produk keluaran syarikat tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan kes diambil di bawah Perenggan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.
“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE