Lelaki tular belasah isteri ditangkap di Mahkamah Syariah Bangi
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki yang tular sejak semalam selepas membelasah isterinya setelah dia kantoi curang di sebuah hotel di daerah ini pada Mei lalu sudah ditangkap polis tengah hari tadi di Mahkamah Syariah Bangi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, permohonan reman bagi lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai juruteknik berkenaan akan dibuat esok.
Menurutnya, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumahtangga bagi siasatan lanjut.
“Polis telah mengesan satu video tular di muat naik pengguna Facebook semalam menyaksikan seorang lelaki memukul seorang wanita di sebuah hotel,” katanya.
Aidi Sham berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 24 Mei, kira-kira pukul 9.50 pagi di sebuah hotel dan pergaduhan tersebut melibatkan sepasang suami isteri.
“Punca kejadian dipercayai suaminya telah berlaku curang. Akibat daripada kejadian ini, mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan di bahagian pipi dan sakit di beberapa anggota,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 31 saat memperlihatkan lelaki berkenaan mengejar dan memukul isterinya itu turut tular di media sosial.
Sumber – KOSMO! ONLINE