Padah tipu keluarga, lelaki ‘hilang’ di Myanmar

Oleh – Syeikh Baran


Padah tipu keluarga, lelaki ‘hilang’ di Myanmar
Hishamuddin (tengah) bergambar bersama ahli keluarga mangsa selepas sidang akhbar MHO di Megan Avenue 1, hari ini. – Foto M FIRDAUS M JOHARI

Seorang lelaki berusia 30 tahun dari Kuala Kangsar, Perak dilaporkan hilang selepas dipercayai diperdaya sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa memaklumkan kepada keluarganya dia akan ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai penghantar sayur pada 13 Jun lalu.



Menurut Hishamuddin, sebaliknya mangsa memberitahu individu lain dipercayai teman wanitanya melalui WhatsApp bahawa dia akan ke Bangkok.

“Jumaat lalu, teman wanitanya bertemu keluarga mangsa dan maklumkan lelaki itu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan akan bertolak ke Bangkok dan dijemput seseorang sebaik tiba di sana.

“Mangsa juga memaklumkan dia ada menaiki kereta selama enam jam ke Sungai Moel dan akan dibawa ke sempadan Sungai Myanmar, tetapi dia tidak mahu,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya menjangkakan ada panggilan daripada mangsa atau ahli sindiket kepada keluarganya dalam masa dua minggu lagi.



“Menurut pengalaman MHO, modus operandi sindiket adalah sama. Bila sampai Thailand, (mangsa) akan dibawa ke Chiang Rai kemudian ke Sungai Chong Khaep dan seterusnya Myanmar.

“Kami percaya mangsa berada di sana cuma tidak dapat mengesahkannya sebab belum ada panggilan diterima,” katanya.

Abang mangsa pula memberitahu, sudah seminggu adiknya tidak dapat dihubungi dan laporan polis telah dibuat oleh teman wanita adiknya di Balai Polis Kuala Kangsar pada 14 Jun lalu.

“Dia tidak beritahu hendak ke Thailand kecuali kepada teman wanitanya. Sebelum ini adik saya bekerja membantu keluarga dengan menjual makanan. Dia merupakan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia,” jelasnya.



Dalam pada itu, Hishamuddin berpesan kepada keluarga mangsa supaya tidak membayar wang tebusan sekiranya menerima panggilan daripada sindiket scammer.

“Minta mangsa untuk menghubungi MHO kerana kita mempunyai pasukan penyelamat yang akan mengenal pasti lokasi seterusnya menyelamatkan mangsa dengan kaedah tertentu,” tegasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button