Seludup beras pulut Siam dalam tong ikan

Oleh – Syeikh Baran


Seludup beras pulut Siam dalam tong ikan
Ismail (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian barang masakan dari Thailand yang dirampas dalam Operasi Khas Bersepadu Diesel Bersubsidi bermula 27 Mei hingga 10 Jun lalu.

Taktik penyeludup menyembunyikan bahan masakan dari Thailand seperti tepung beras dan beras pulut di dalam tong ikan gagal apabila dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis di Kuala Perlis, dekat sini pada 28 Mei lalu.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, barangan tersebut bersama gula dan serbuk perasa dengan berat keseluruhan 597 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM7,080 ditemui di pelantar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).



“Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ini. Kita percaya suspek menyembunyikan barangan tersebut di dalam tong ikan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Barangan yang dibawa dari Thailand ini perlu diikrarkan dalam Borang Kastam 1 untuk diimport. Semuanya tidak ada permit, contohnya tepung beras, beras pulut ini perlu permit Maqis selain kelulusan daripada segi kesihatan,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam Padang Besar, di sini hari ini.

Kata beliau, rampasan tersebut merupakan antara kes yang berjaya dihasilkan JKDM Perlis dalam Operasi Khas Bersepadu Diesel Bersubsidi di Kompleks ICQS Padang Besar bermula 27 Mei hingga 10 Jun lalu.

“Selain itu, kita juga merampas 96 botol minuman keras bernilai RM44,874 yang ditinggalkan di dalam beg di Jeti Penumpang Kuala Perlis dan 698 botol ubat batuk bernilai RM24,430 di pesisiran Pantai Kurong Tegar, Kuala Perlis,” ujarnya.



Tambahnya, dalam operasi itu pihaknya juga menahan seorang wanita berusia 30 tahun bersama sebuah kereta jenis Toyota Yaris di Pangkalan Marin Kuala Perlis kerana didapati berada di luar Langkawi melebihi tempoh 90 hari dalam setahun.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button