Duda tak mengaku cuba bunuh tunang bekas isteri

Oleh – Syeikh Baran


Duda tak mengaku cuba bunuh tunang bekas isteri
Tertuduh (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen George Town, pagi tadi. – Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

Seorang duda yang juga mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membabitkan cubaan membunuh seorang lelaki dipercayai tunang kepada bekas isterinya, 10 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Burhan, 33, memohon dibicarakan selepas pertuduhan di bacakan dihadapan Hakim Ooi Sheow Wean.



Muhammad Hafizi yang juga bapa kepada dua anak dituduh cuba membunuh seorang lelaki, Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan pisau berukuran lima sentimeter.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 5.50 pagi, 10 Jun lalu, bertempat di koridor Tingkat 9, Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir di sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil yang mengendalikan kes itu tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Hafizi turut berdepan dua tuduhan berasingan di Mahkamah Majistret Jenayah 2 dan 3 hari ini.



Di Mahkamah Majistret Jenayah 3, Muhammad Hafizi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan telah melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab.

Di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Muhammad Hafizi dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin hadapan dan cermin pintu kereta bekas isterinya, Asma Wahab sehingga menyebabkan kerugian RM1,500.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan apartment Taman Jade, Jalan Bukit Gambir di sini, kira-kira 10.10 malam, pada 2 April lalu.

Sumber – KOSMO! ONLINE



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button