Manja didakwa menyamar pegawai AADK tipu duit kawan RM416,000

Oleh – Syeikh Baran


Manja didakwa menyamar pegawai AADK tipu duit kawan RM416,000
TERTUDUH mengenakan uniform tertera logo AADK dan jawatan Tuan Manja Ketua Penguat kuasa ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. – Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

Seorang wanita menggunakan nama samaran Manja Bunga Lestari didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu rakannya yang juga warga emas sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM416,000, tahun lalu.

Tertuduh, Norhana Adam, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya rakan lelakinya berusia 64 tahun tentang seorang pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dikenali sebagai Nur Amalina, yang mana individu tersebut tidak wujud akan ditukarkan ke Sabah atau Sarawak.

Penipuan itu kononnya bagi mengelakkan Nur Amalina ditukarkan sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah RM416,000 secara berperingkat antara September 2023 sehingga Jun 2024 lalu di sebuah kedai makan berhampiran Stadium Hang Jebat, Melaka.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Difahamkan, tertuduh yang awalnya menyamar sebagai pegawai kanan AADK memohon pinjaman wang sebanyak RM10,000 daripada mangsa untuk melepaskan Nur Amalina yang didakwa ditahan kerana menolak pertukaran tempat kerja.



Dia yang menggunakan nama Manja Bunga Lestari kemudian mendakwa kononnya rakan sekerjanya itu mempunyai beberapa saman yang perlu diselesaikan sebelum dibebaskan daripada tahanan dan menyebabkan mangsa menyerahkan sejumlah wang.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 dengan mengambil kira nilai kerugian yang dialami mangsa adalah tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan memandangkan ibunya sedang sakit dan dia juga tidak bekerja.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Rohatul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.



Beliau kemudian menetapkan tarikh 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button