Terlepas hukuman mati bunuh suami bekas teman wanita

Oleh – Syeikh Baran


Terlepas hukuman mati bunuh suami bekas teman wanita
Gambar Hiasan

Bekas pasangan kekasih terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 36 tahun kerana membunuh suami wanita itu yang ditikam ketika sedang tidur dalam bilik sebuah rumah di Petaling Jaya 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap bekas penjaga stor, G. Puganeswaran, 34, dan suri rumah, K. Annamah, 47, selepas membenarkan permohonan semakan mereka untuk mengetepikan hukuman mati.



Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 17 Februari 2012 selain mengarahkan Puganeswaran dikenakan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati, Puganeswaran dan jirannya Annamah bersalah membunuh pemandu lori G. Ganesan, 31, di flat berkenaan pada pukul 2.47 pagi, 16 Februari 2012.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ng Siew Wee membantah permohonan semakan itu atas alasan pembunuhan tersebut telah dirancang terlebih dahulu dengan melibatkan empat remaja lain.

Hujah pendakwaan, kejadian itu dilakukan hasil konspirasi kedua-duanya selain remaja-remaja tersebut dijanjikan habuan RM5,000 seorang yang akan diambil daripada wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa.



Siew Wee bersama-sama TPR Norzilati Izhani Zainal turut berhujah, Puganeswaran dan Annamah menjalin hubungan sulit dan wanita itu sendiri yang merosakkan rumah tangganya.

Sementara itu, peguam A. Saha Deva yang mewakili Puganeswaran memohon hukuman mati terhadap anak guamnya diketepikan atas alasan kes itu bukan di bawah kategori `yang paling jarang, di antara yang jarang berlaku’ manakala mangsa telah mendera isterinya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button