Ugut bunuh tak puas hati rumah sewa terkunci

Oleh – Syeikh Baran


Ugut bunuh tak puas hati rumah sewa terkunci
Gambar Hiasan

Tidak puas hati pintu rumah sewa terkunci menjadi punca seorang lelaki bertindak melakukan ugutan bunuh terhadap ejen hartanah dalam kejadian di sebuah kondominium di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku apabila mangsa dihubungi pengurusan kondominium tersebut yang memaklumkan suspek ingin memasuki rumah sewanya.



“Mangsa yang menguruskan unit rumah tersebut telah pergi ke kondominium untuk berjumpa dengan suspek.

“Suspek telah bertanya mengapa menukarkan kunci pintu rumah sewa tersebut, namun mangsa telah memberitahu tuan rumah tidak menukar kunci pintu serta dirinya tidak mengetahui mengapa kunci rumah tersebut ditukar.

“Mangsa meminta suspek untuk mencuba sekali lagi, namun kunci pintu masih tidak boleh dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd. Azam, suspek yang berang telah menuduh mangsa mengunci rumah tersebut dan mula bertindak agresif dengan mengacah untuk menampar serta mengugut untuk memukul serta membunuh mangsa.



“Akibat daripada itu, bagi mengelakkan keadaan yang lebih teruk, mangsa bergegas beredar dari tempat kejadian,” katanya.

Rentetan itu, Mohd. Azam memaklumkan, pada pukul 2 pagi tadi pihaknya telah menahan suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau jenayah tidak dikehendaki.

“Motif ugutan ini adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana kunci pintu rumah sewanya telah ditukar dan dia tidak dapat masuk ke dalam rumah,” katanya.



Tambah beliau, reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin hadapan dan kes disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button