19 individu terpedaya skim pelaburan mesin air minuman layan diri, kerugian RM1.8 juta

Oleh – Syeikh Baran


19 individu terpedaya skim pelaburan mesin air minuman layan diri, kerugian RM1.8 juta
HISHAMUDDIN bersama mangsa yang ditipu. FOTO Hazreen Mohamad

Sebuah syarikat yang bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal didakwa melakukan penipuan skim pelaburan mesin air minuman layan diri membabitkan kerugian RM1.8 juta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sudah menerima 19 aduan daripada mangsa yang menyertai skim pelaburan itu sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.



Menurutnya, mangsa mendakwa mereka ditawarkan oleh syarikat terbabit pulangan dividen yang lumayan serta manfaat lain sekiranya menyertai pelaburan itu, sebaliknya mereka tidak menerima pulangan seperti dijanjikan.

“Kami mengesyaki bahawa janji yang diberikan oleh syarikat terbabit adalah tidak benar atau tidak wujud kerana mangsa tidak pernah menerima langsung sebarang bayaran dividen atau pulangan seperti dijanjikan syarikat itu.

“Di samping itu, mangsa juga tidak pernah ditunjukkan atau dikemukakan sebarang bukti bahawa mesin minuman air layan diri terbabit benar-benar wujud atau tidak,” katanya pada sidang media hari ini.

Hishamuddin berkata, ada kemungkinan dokumen yang dikemukakan ketika pemasaran skim pelaburan tidak wujud atau ia hanya dokumen yang diada-adakan oleh syarikat ini.



“Konsep atau modus operandi syarikat ini adalah dengan mencari pelanggan miskin dan tidak berkemampuan untuk menyertai skim pelaburan ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan, ejen pemasaran yang dilantik untuk memasarkan skim pelaburan ini akan menerima komisyen yang diberikan oleh syarikat terbabit sekiranya berjaya menarik pelanggan menyertai skim pelaburan ini.

“Namun, daripada makluman yang kami terima, ejen pemasaran terbabit dikatakan ditipu pihak syarikat untuk memasarkan skim pelaburan mesin minuman air layan diri ini,” katanya.

Katanya, permasalahan mulai timbul apabila mangsa tidak dapat menerima sebarang pembayaran pulangan atau keuntungan seperti dijanjikan syarikat terbabit.



“Mangsa berhubung dengan ejen pemasaran wakil syarikat namun, tiada jawapan positif yang diberikan.

“Syarikat terbabit memberi alasan perniagaan pada ketika itu tidak dapat dijalankan berikutan perintah kawalan pergerakan (akibat Covid-19) sebelum memaklumkan syarikat sudah ditutup kerana menanggung hutang,” katanya.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button