88 kes jenayah komersial direkod sehari

Oleh – Syeikh Baran


88 kes jenayah komersial direkod sehari
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan purata sebanyak 88 kes jenayah komersial sehari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, data tersebut berdasarkan sejumlah 14,846 kes jenayah komersial yang disiasat sehingga minggu ke-24 pada tahun ini iaitu berakhir pada 16 Jun lalu.



Beliau berkata, bagi tempoh yang sama, nilai kerugian yang direkodkan untuk jenayah komersial telah mencecah RM1.07 bilion.

“Secara perbandingan, jumlah kes pada tahun ini meningkat satu peratus berbanding tempoh sama bagi tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 14,798 kes.

“Nilai kerugian juga menunjukkan trend yang sama dengan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tahun lalu yang mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM843.4 juta,” katanya pada Sabtu.

Ramli berkata, peningkatan jumlah kes jenayah komersial di negara ini bagaimanapun dapat ditangani dengan sewajarnya oleh pihak JSJK melalui kadar pertuduhan yang lebih baik berbanding tahun lalu.



Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat melalui sejumlah 7,018 kertas siasatan yang telah dituduh sehingga minggu ke-24 pada tahun ini.

Jelas beliau, jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding 6,219 kertas siasatan yang dituduh bagi tempoh sama pada 2023.

“Dalam usaha membendung peningkatan kes-kes jenayah komersial, PDRM menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk sentiasa cakna dan mengambil bahagian dalam menyebarkan mesej-mesej pencegahan jenayah komersial.

“Sama-samalah kita berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terhindar daripada ancaman jenayah komersial,” ujarnya.



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button