Anggota PGA maut dihempap pokok
Oleh – Syeikh Baran
Seorang anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu maut selepas van dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Gelugor, Felda Sahabat 16, di sini petang semalam.
Koperal Zeno Gungoh, 44, yang bertugas di Cawangan Pengangkutan BN 17 PGA Lahad Datu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan ekoran mengalami kecederaan parah dalam kejadian pukul 2.30 petang itu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ketika kejadian sedang dalam perjalanan arah Komtek Sahabat 16 PGA menuju ke arah pantai Sahabat 16.
“Bagaimanapun, sejurus tiba di lokadi kejadian, secara tiba-tiba sebatang pokok yang berada di bahu kanan jalan raya dipercayai tumbang sebelum menghempap kenderaan jenis Window Van dipandu mangsa.
“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, mangsa yang juga bekas Unit Tindakan Khas (UTK) pernah bertugas ketika peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 11 tahun lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE