Juruteknik komputer terlepas tali gantung, hukuman mati diganti penjara 38 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Juruteknik komputer terlepas tali gantung, hukuman mati diganti penjara 38 tahun
Gambar Hiasan

Seorang bekas juruteknik komputer sambilan terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati terhadapnya dengan pemenjaraan 38 tahun atas kesalahan menculik dan membunuh pengurus kilang sarung tangan yang mayatnya ditemukan di kawasan pembuangan sampah di Sungai Siput, Perak, 17 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Yan Wai Seng, 36, di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.



“Mahkamah memerintahkan hukuman mati pemohon (Yan) diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 38 tahun yang diperintahkan berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap (1 Mei 2007) atas kesalahan membunuh dan menculik,” katanya.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan, turut memerintahkan Yan dikenakan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh manakala lima sebatan kerana menculik.

Mereka juga dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah sama kerana menculik mangsa sama untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM200,000, dengan cara mengurungnya secara tidak sah di lokasi sama antara 11 malam, 20 April 2007 hingga 2.30 petang, 26 April 2007 dan dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pada 5 April 2014, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap kedua-dua lelaki itu atas kesalahan membunuh dan menculik, sebelum Mahkamah Persekutuan pada 23 Februari 2018 mengekalkan hukuman terhadap Yan. Namun rayuan Chew dibatalkan mahkamah kerana dia meninggal dunia.



Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ng Siew Wee memohon supaya hukuman mati dikekalkan terhadap Yan, manakala peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Yan memohon supaya hukuman mati diketepikan kerana peranan anak guamnya dalam insiden itu sangat kecil, selain dia tidak terbabit untuk menyeksa mangsa.

Di mahkamah sama, Tengku Maimun turut mengetepikan hukuman mati terhadap bekas ahli perniagaan Loh Yoon Fatt, 52, dan menggantikan hukuman itu dengan penjara 35 tahun kerana membunuh seorang perunding perniagaan dengan menggunakan besi pengunci kereta pada Hari Krismas, 15 tahun lalu.

Tengku Maimun memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan di bawah Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Mahkamah memerintahkan hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 35 tahun dari tarikh tangkap pada 26 Disember 2009,” katanya.



Pada 21 November 2011, Loh dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh Lam Siew Kong, 59, di tempat letak kereta sebuah restoran di Jalan Sultan Abdul Halim, Ipoh pada 9.20 malam, 25 Disember 2009, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, masing-masing pada 2013 dan 2014.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol manakala Loh diwakili peguam Tan Guat Cheng.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button