PRK Sungai Bakap: SPRM ingat calon, parti politik tidak langgar undang-undang
Oleh – Syeikh Baran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan calon dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap agar tidak melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, peringatan itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Pada masa sama, SPRM turut melancarkan bilik gerakan pilihan raya bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa PRK Sungai Bakap.
“Bilik gerakan yang beroperasi 24 jam mulai 22 Jun hingga 6 Julai 2024 itu akan ditempatkan di dua lokasi iaitu di SPRM Pulau Pinang dan di SPRM Cawangan Seberang Perai,” katanya hari ini.
SPRM berkata, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada [email protected] atau hubungi talian 04-2299262 sambungan 1107.
Terdahulu, PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
PH diwakili, Dr. Joohari Ariffin, manakala Abidin Ismail, 56, pula mewakili PN.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Sumber – KOSMO! ONLINE