Dua pegawai kanan penguat kuasa ditahan, bantu bebas tahanan kes dadah

Oleh – Syeikh Baran


Dua pegawai kanan penguat kuasa ditahan, bantu bebas tahanan kes dadah
Gambar Hiasan

Dua pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa antara tiga individu yang ditahan selepas disyaki terlibat membantu membebaskan seorang lelaki berkaitan kes dadah.

Ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 30 dan 40-an telah ditahan antara pukul 2 hingga 5.30 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.



Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 daripada seorang lelaki sebagai balasan melepaskan rakan lelaki tersebut yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2021 dan ketika itu dua pegawai penguat kuasa kanan ini bertugas di sebuah daerah di Terengganu.

“Siasatan awal mendapati duit rasuah tersebut disyaki digunakan oleh salah seorang suspek yang kini bertugas di sebuah daerah di Kedah dan isterinya untuk pelaburan judi secara dalam talian,”katanya.

Mengulas lanjut, sumber SPRM memaklumkan siasatan juga mendapati wang tersebut pada awalnya dipercayai telah dimasukkan ke dalam akaun pihak ketiga sebelum dipindah ke akaun milik isteri suspek.



Menurutnya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa tangkapan susulan mengenai kes ini akan dibuat.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button