Serangan udara kem pelarian ragut 38 nyawa

Oleh – Syeikh Baran


Serangan udara kem pelarian ragut 38 nyawa
Penduduk memeriksa kerosakan sebuah bangunan yang musnah dalam pengeboman askar Israel di kem pelarian al-Shati semalam. – AFP

Dua serangan udara askar Israel ke atas beberapa bangunan di Bandar Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 38 orang dan mencederakan ramai lagi, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Jurucakap pertahanan awam Gaza berkata, sebuah blok kediaman di kawasan al-Shati iaitu salah satu kem pelarian bersejarah di Gaza, telah dibedil beberapa kali.



Serangan lain menyasarkan rumah-rumah di daerah al-Tuffah, kata pejabat media kerajaan yang dikendalikan Hamas.

Rakaman menunjukkan orang ramai mengangkut mangsa yang cedera dan mencari mangsa lain di sebalik serpihan ketika debu memenuhi jalan.

Jurucakap Pertahanan Awam Bandar Gaza, Hussein Muhaisen memberitahu AFP bahawa kesan daripada serangan itu adalah seperti gempa bumi.

“Seluruh kawasan menjadi sasaran kerana anda boleh melihat rumah musnah. Masih ada keluarga di bawah runtuhan.



“Sesetengah yang cedera telah dipindahkan ke Hospital Baptist, dan kini kami menyelamatkan yang lain dari bawah runtuhan.

“Keadaan adalah sangat, sangat sukar kerana kekurangan alatan dan bahan api untuk ambulans,” ujar Hussein.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa bahawa pesawat perangnya menyerang ‘tapak infrastruktur tentera Hamas’. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button