Dua beradik jual air ketum diberkas polis

Oleh – Syeikh Baran


Dua beradik jual air ketum diberkas polis
Sebahagian bungkusan mengandungi air ketum yang dirampas dalam serbuan di Kampung Batu Enam, Chendering, Kuala Terengganu hari ini.

Dua nelayan yang juga adik-beradik diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual air ketum di Kampung Batu Enam, Chendering di sini hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 1 tengah hari itu berjaya merampas 98 peket plastik mengandungi cecair berwarna hijau disyaki air ketum.



Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu serbuan, kedua-dua lelaki berusia 26 dan 44 tahun berada di ruang tamu sebuah rumah.

“Pemeriksaan kemudiannya menemui 98 peket plastik air ketum berkenaan dan sebuah tong berwarna oren di dalam sebuah stor rumah terbabit.

“Siasatan awal mendapati setiap peket plastik air ketum tersebut dijual pada harga RM15,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, air ketum terbabit dipercayai dijual kedua-dua suspek untuk pasaran sekitar mukim Chendering.



Tambah beliau, ujian urin mendapat suspek berusia 44 tahun positif dadah jenis methamphetamin manakala adik lelakinya pula negatif.

“Kes disiasat mengikut Sek. 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button