Lelaki Orang Asli maut dipijak gajah
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai akibat dipijak gajah liar di kawasan kebun getah di Kampung Lerlar, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di sini semalam.
Mangsa berusia 65 tahun itu dikatakan telah terserempak dan dipijak seekor gajah liar ketika berada di kebun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, berdasarkan siasatan, warga emas itu dikatakan pergi ke kebun berkenaan sekitar pukul 3.15 petang untuk mencari kayu.
Katanya, menurut anak perempuan mangsa berusia 44 tahun yang berada di rumah kebun dekat lokasi kejadian, telah mendengar bunyi teriakan bapanya dan tempikan gajah.
“Setelah keadaan reda, wanita itu bersama abang iparnya telah ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.
“Pada masa sama, mereka turut terlihat kelibat gajah di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber – KOSMO! ONLINE