Pembantu belia dan sukan didakwa songlap duit kontraktor, pembekal RM64,200

Oleh – Syeikh Baran


Pembantu belia dan sukan didakwa songlap duit kontraktor, pembekal RM64,200
Pegawai SPRM membawa Muhammad Alif Heikal (kiri) selepas didakwa atas enam pertuduhan menipu wang sebanyak RM64,200 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. – Foto oleh ROSALWANI CHE SOH / KOSMO!

Seorang pembantu belia dan sukan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas enam pertuduhan menipu dua individu yang merupakan kontraktor dan pembekal barangan Program Pasca Bencana Banjir sehingga mereka mengalami kerugian sebanyak RM64,200 pada lima dan dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Alif Heikal Samsol, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.



Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya seorang kontraktor,Azhar Deraman, 53, untuk menyerahkan RM25,000 kepadanya.

Tindakan itu sebagai dorongan untuk mempercayai bahawa mangsa dilantik sebagai kontraktor bagi kerja membaik pulih gelanggang futsal di bawah seliaan Pejabat Belia dan Sukan daerah Bachok bertarikh 6 Oktober 2019 yang sebenarnya tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Pantai Irama, Bachok dekat sini pada 16 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, Muhammad Alif Heikal didakwa memperdaya Nur Baiti Yusof, 38, untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM39,200 untuk membekalkan 80 kotak makanan kering, pek barang keperluan wanita dan selimut.



Tertuduh menipu mangsa untuk mempercayai bahawa wanita itu dilantik sebagai pembekal Program Pasca Bencana Banjir di bawah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan dan Program Kursus Kesukarelawan Satria Rakan Muda di bawah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan bertarikh November 2022.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Panji dan sebuah hotel di Tunjong di sini antara 9 hingga 24 November 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi keenam-enam pertuduhan itu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan Ermi Yasmin Abd. Momen manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.



Terdahulu, Mariah mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport diserah kepada pihak berkuasa selain tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan

Azura dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi kesemua pertuduhan memandangkan anak guamnya merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2016 dan tidak pernah terlibat dalam sebarang kesalahan sehingga dikenakan tindakan tatatertib dalapembantum jabatan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button