Juruteknik Air Selangor tak mengaku salah pukul bini

Oleh – Syeikh Baran


Juruteknik Air Selangor tak mengaku salah pukul bini
Mohd Ridwan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, di sini, hari ini, atas dakwaan melakukan kekerasan ke atas seorang wanita yang pada masa berkenaan masih isterinya, bulan lalu. FOTO/ MOHD SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

Seorang lelaki yang tular memukul isterinya dalam kejadian di sebuah hotel di daerah ini bulan lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.



Lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada isterinya berusia 38 tahun pada pukul 9.50 pagi di tingkat sembilan sebuah hotel pada 24 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 352A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Asiah Mahmud menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Krishnaveni merayu jaminan dikurangkan kepada RM2,500 dengan alasan anak guamnya kini bertugas sebagai juruteknik di Syarikat Air Selangor seorang yang sangat bertanggungjawab.



“Dia (tertuduh) akan dijamin oleh kakaknya yang bekerja sebagai cef yang mempunyai tanggungan sendiri. Dalam keadaan ini, beliau tidak akan mengganggu isterinya. Saya percaya tiada risiko beliau akan lari daripada kesalahan ini,” katanya.

Majistret menetapkan wang jaminan RM2,500 berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button