Pekerja restoran didakwa sokong, mengaku ahli kumpulan IS

Oleh – Syeikh Baran


Pekerja restoran didakwa sokong, mengaku ahli kumpulan IS
Muhammad Muzzammil ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini.

Seorang pekerja restoran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memberi sokongan, memiliki artikel dan video serta mengaku menjadi ahli kumpulan pengganas Islamic State (IS) bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh iaitu Muhammad Muzzammil Mohd. Mohlis, 35, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.



Pengakuan tidak direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (bahasa arab) di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman di sini, pukul 4.50 petang pada 31 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah memiliki artikel-artikel dan video item berkaitan IS di lokasi, tarikh dan masa yang sama, mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.



Sementara pertuduhan ketiga tertuduh didakwa mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara bai’ah dengan pemimpin IS, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Cheras, Batu 4 di sini, pukul 10.08 pagi, Mei lalu, mengikut Seksyen 130J(2)(d) Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan untuk pihaknya menyerahkan laporan daripada pakar berhubung barangan berkaitan kumpulan pengganas itu kepada mahkamah.

Hakim Fadzlin Suraya kemudian menetapkan sebutan kes pada 29 Ogos ini untuk serahan dokumen berkaitan.



Sumnber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button