Wanita dihempap pokok ditidurkan, alami pendarahan kepala

Oleh – Syeikh Baran


Wanita dihempap pokok ditidurkan, alami pendarahan kepala
Kejadian pasangan suami isteri yang cedera parah akibat ditimpa pokok di Jalan Kampung Padang Benta, Kangar semalam.

Wanita yang cedera akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini semalam ditidurkan hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli selepas melawat mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini pada petang tadi.Menurut Mohd. Shukri, bapa mentua mangsa, Hanizam Hussin memaklumkan menantunya itu mengalami beberapa kecederaan seperti pendarahan dalam kepala dan patah tulang belakang kanan serta kiri.



“Mangsa kini ditidurkan dan dirawat di ICU HTF dan kita mengharapkan agar dia cepat pulih,” katanya ketika ditemui di pekkarangan HTF, di sini pada petang tadi.

Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri, Muhammad Danish Hakim Hanizam dan Nuraleya Syazreena Roslan masing-masing berusia 18 tahun cedera selepas dihempap pokok sewaktu ribut kencang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini kira-kira pukul 3 pagi, semalam.

Selain itu, bayi dalam kandungan mangsa yang hamil lima bulan disahkan meninggal dunia akibat kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kejadian berkenaan berlaku sewaktu mangsa bersama suaminya dalam perjalanan pulang bekerja dari kedai makan milik ibu mentuanya.“Mereka bertolak pulang dengan bapa dan ibu mentua, kakak serta suaminya secara bersama menaiki tiga motosikal setelah keadaan hujan mula reda pada hari kejadian itu.



“Sewaktu kejadian, motosikal ditunggang mangsa berada di hadapan sekali sebelum dihempap pokok,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button