Wanita trauma rider hantar makanan 2 pagi, minta tumpang tandas
Oleh – Syeikh Baran
“Tak boleh pakai. Hantarkan makanan pukul 2 pagi, dia minta nak tumpang tandas rumah. Dah cakap tak boleh tolong, still insisted (bertegas).”
Itu luahan seorang wanita di aplikasi X apabila terpaksa berdepan dengan seorang penghantar makanan (rider) yang berkelakuan pelik sehingga menimbulkan kebimbangan, hari ini.
Jelasnya susulan itu, dia terpaksa menghubungi pengawal keselamatan di apartmennya bagi memastikan rider berkenaan sudah berlalu atau tidak.
“Guard naik periksa, dia ada kat hujung koridor tingkat rumah aku. Aku tengok jam, dah 20 minit dia kat situ. Makanan aku pun duduk la kat gril selama 20 minit tu,” katanya.
Selepas insiden yang berlaku semalam itu, wanita berkenaan bertindak memeriksa video yang sempat dirakam ketika kejadian.
“Bangun tidur tadi aku okey lagi. Periksa balik video yang aku sempat rakam celah pintu, tu yang naik bengang.
“Ada dengar dia tanya guard tu, ‘Saya ganggu dia ke?’ Amboi brother, kata telefon dah nak habis bateri. Kata dah tak tahan sangat sangat nak pergi tandas?.
Dalam masa sama, wanita itu turut berkongsi tangkap layar video berkenaan dan maklumat rider tersebut yang dipaparkan dalam aplikasi.
“Lain kali kongsi juga alamat rumah, ini dia ja yang tahu rumah aku. Kita yang dah 100 peratus tahap berjaga-jaga, dah kena tambah lagi. Dia seronok la main game, hisap rokok, macam tak ada apa jadi,” kongsinya.
Selain itu, wanita berkenaan memaklumkan bahawa laporan telah pun dibuat ke syarikat penghantaran makanan terbabit dan ia telah mendapat respons daripada pihak berkenaan.
“Hai, mohon maaf ya. Sila mesej terus (DM) nombor telefon dan juga email pengenalan diri untuk semakan lanjut ya,” balasnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE