Bekas juruteknik TNB mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

Oleh – Syeikh Baran


Bekas juruteknik TNB mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu
Abdul Hadee (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak hari ini di atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu empat tahun lalu. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

Bekas juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembayaran kerja-kerja penyelenggaraan berjumlah RM19,301.70, empat tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Hadee Ahmad, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu Laporan Kerja Service Express and LKKK SAVR Over Head/Underground TNB Bidor atas nama syarikat ZG Engineering Sdn. Bhd. bagi bulan April 2020 berjumlah RM19,301.70

Perbuatan tertuduh itu dengan niat bagi memperdayakan prinsipalnya iaitu TNB di mana kerja-kerja penyelenggaraan itu dijalankan oleh pekerja TNB sendiri dan bukannya syarikat berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat TNB Cawangan Bidor dalam daerah Batang Padang pada 28 Oktober 2020.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.



Pada prosiding sama, bapa kepada tiga anak itu juga didakwa dengan pertuduhan pilihan iaitu dengan curang telah memperdayakan TNB untuk membuat pembayaran kepada syarikat sama bagi kerja-kerja yang tidak dilakukan pada tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button