Kantoi seludup minuman keras lalu mesin pengimbas
Oleh – Syeikh Baran
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menyita sebanyak 1,664 botol minuman keras pelbagai jenama bersama-sama barang dagangan lain yang cuba dibawa masuk ke negeri ini secara tidak sah.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, tangkapan dilakukan oleh pasukan dari Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching bersama Bahagian Perkastaman Cawangan Pelabuhan Senari Kuching selepas menahan sebuah kontena berukuran 40 kaki di Customs Examination Area (CEA) di Pelabuhan Senari di sini kira-kira pukul 2.25 petang, 7 Jun lalu.
“Pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas di Pelabuhan Senari menunjukan imej berupa botol yang disyaki minuman keras.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kontena tersebut menjumpai beberapa kotak yang mengandungi botol minuman keras pelbagai jenama bersetem cukai yang tidak diikrarkan selain turut ditemui barang dagangan yang tidak diikrarkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya jumlah keseluruhan nilai barang sitaan dianggarkan sebanyak RM672,410 melibatkan nilai duti dan cukai sebanyak RM123,604.93.
Sumber – KOSMO! ONLINE