Lelaki khunsa dipinggir keluarga, masyarakat

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki khunsa dipinggir keluarga, masyarakat
Lelaki khunsa tersebut ketika dikunjungi oleh pihak Lembaga Zakat Selangor.

Seorang lelaki dipinggirkan keluarga dan masyarakat kerana statusnya yang merupakan seorang khunsa.

Khunsa ialah individu yang memiliki dua alat kelamin.



Menerusi perkongsian di laman Facebook milik akaun Lembaga Zakat Selangor, lelaki tersebut hadir ke pejabat lembaga zakat itu bagi menghantar permohonan bantuan.

Namun, lelaki tersebut tidak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut kerana takut aibnya terdedah bahawa dia merupakan seorang yang mempunyai status khunsa.

Tambah kenyataan itu lagi, lelaki tersebut yang berasal dari Sabah hidup seorang diri selepas kematian ibu bapanya, manakala saudara-mara lain tidak dapat menerima keadaan dirinya sehingga membuatkan dia berhijrah ke Semenanjung.

Di Semenanjung, dia bekerja sebagai seorang tukang masak, tetapi terpaksa berhenti apabila kerap mengalami sakit serta majikannya tidak dapat menerima keadaan dirinya.



Pakar perubatan mengesahkan bahawa lelaki tersebut mempunyai fungsi tubuh badan dan hormon dominannya ke arah lelaki.

“Jabatan mufti juga mengesahkan bahawa dia merupakan seorang lelaki dan telah didaftarkan sebagai lelaki pada surat beranak dan juga surat kelahiran.

“Namun, ketika mencapai usia remaja, lelaki tersebut mengalami haid luar biasa sehingga menyebabkan pendarahan yang teruk dan pakar perubatan mengesahkan fungsi wanitanya berjalan dengan lancar,” kata hantaran tersebut.

Dari sudut pandangan fizikal, dia merupakan seorang lelaki yang normal, namun secara perubatan pula disahkan mempunyai dwifungsi organ lelaki dan perempuan.



“Rawatan pakar diteruskan dan akan dirujuk pada pakar luar negara dalam masa terdekat, manakala pihak Jabatan Mufti sedang menunggu laporan status jantinanya yang sebenar.

“Sehubungan itu, pihak Lembaga Zakat Selangor telah menyantuni insan tersebut sebagai asnaf miskin dan telah memberi sedikit sumbangan bagi meringankan bebannya.

“Bagi kos perubatan pula dibincangkan di peringkat pakar perubatan dan hospital,” ujar kenyataan tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button