Pembantu tadbir didakwa rasuah lulus pecah tanah di Sabak Bernam

Oleh – Syeikh Baran


Pembantu tadbir didakwa rasuah lulus pecah tanah di Sabak Bernam
Gambar Hiasan

Seorang pembantu tadbir Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan rasuah berjumlah RM7,880 bagi meluluskan permohonan pecah bahagian tanah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Noor Aliza Hamin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.



“Saya mahu dibicarakan,” katanya.

Noor Aliza didakwa menerima suapan secara berperingkat sebanyak RM3,700 dan RM4,180 sebagai dorongan untuk memproses permohonan seorang pemilik tanah bagi pecah bahagian tanah atas geran bagi sebidang tanah di Sabak Bernam.

Perbuatan itu dilakukan di cawangan sebuah bank di Sungai Besar pada 19 Mei dan 19 September 2022 seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.



Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa.

Tertuduh juga diarahkan supaya tidak mengganggu saksi–saksi pendakwaan.

Noor Aliza yang tidak diwakili peguam kemudiannya meminta wang jaminan dikurangkan kerana sedang menjalani rawatan fibroid.

Mahkamah kemudian membenarkan Noor Aliza diikat jamin sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes pada 30 Julai depan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button