Peniaga ‘curi’ 10 sen setiap kali pelanggan imbas kod QR

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga ‘curi’ 10 sen setiap kali pelanggan imbas kod QR
PENGUAT KUASA KPDN Melaka menyerbu sebuah gerai di medan selera selepas dikesan mengenakan caj tambahan 10 sen setiap kali pelanggan mengimbas kod QR disediakan. – foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

Sebuah gerai di medan selera dekat sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri selepas dikesan mengenakan caj tambahan sebanyak 10 sen setiap kali pelanggan membayar menggunakan kod QR.

Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna mendakwa dikenakan caj tambahan apabila menggunakan kemudahan e-dompet di gerai terbabit.



“Peniaga berusia 50-an itu memberitahu pelanggan bahawa caj 10 sen dikenakan bagi bayaran bawah RM10, kalau bawah RM20 ia menjadi 20 sen dan ia adalah tetapan dibuat oleh pihak bank bagi penggunaan perkhidmatan e-dompet.

“Bagaimanapun ini sama sekali tidak benar. Peniaga ini menggunakan kod QR daripada pengendali Bayarlah dan kita juga telah membuat menghubungi syarikat terbabit dan mengesahkan tiada caj tambahan 10 sen dikenakan dalam perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai membuat serbuan di premis berkenaan di sini, hari ini.

Tambahnya, satu kertas siasatan akan dibuka berhubung kesalahan serius itu dan tindakan kompaun telah dikenakan terhadap pemilik gerai di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.



“Kita percaya kegiatan mengenakan caj tambahan ini telah dibuat sejak awal tahun ini, bukanlah dalam tempoh kenaikan diesel baru-baru ini.

“Memang peniaga ini melakukan kesalahan ini secara terang-terangan, ada unsur dia mengambil kesempatan terhadap pelanggan melalui cara imbasan kod QR,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pelanggan ketika ditemui memberitahu, dia berasa teraniaya apabila terpaksa membayar caj tambahan 20 sen untuk sarapan pagi yang dinikmatinya.

“Harga makanan saya RM14, tiba-tiba apabila imbas kena RM14.20. Walaupun nilainya cuma 20 sen, namun saya agak terkejut kerana tidak pernah lagi kena macam tu di kedai lain.



“Peniaga beritahu caj berkenaan bank yang tetapkan tetapi tiada pula notis makluman ditampal,”katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button