Rasuah lebuh raya RM1.6 bilion: Seorang lagi individu ditahan SPRM

Oleh – Syeikh Baran


Rasuah lebuh raya RM1.6 bilion: Seorang lagi individu ditahan SPRM
Seorang lagi individu ditahan reman SPRM selepas disyaki terlibat dengan rasuah projek lebuh raya bernilai hampir RM1.6 bilion. – Foto oleh IHSAN SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang lagi individu kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan kerja-kerja menyiapkan satu pakej pembinaan projek lebuh raya bernilai lebih RM1 bilion di Lembah Klang.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 28 Jun 2024 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.



Menurut sumber, suspek telah meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan kerana melantik syarikat tersebut untuk mengambil alih kerja-kerja menyiapkan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan oleh satu syarikat lain.

Katanya, penahanan suspek adalah susulan tangkapan terhadap lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya itu.

Jelasnya, mereka ditahan SPRM sebelum ini kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

“Suspek kesembilan ini telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 7 malam semalam.



“Jumlah rasuah yang membabitkan kesemua suspek masih lagi dalam siasatan, bagaimanapun pembinaan dua projek lebuh raya ini keseluruhannya berjumlah hampir RM11 bilion,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button