Ahli perniagaan rugi RM7 juta, rumah diceroboh 4 warga Amerika Latin

Oleh – Syeikh Baran


Ahli perniagaan rugi RM7 juta, rumah diceroboh 4 warga Amerika Latin
Rusdi menunjukkan barang kemas milik ahli perniagaan yang berjaya dirampas daripada kumpulan penjenayah.

Ahli perniagaan mengalami kerugian RM7 juta selepas rumahnya di Bukit Damansara, di sini, dipecah masuk empat warga Amerika Latin pada 31 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 11.34 pagi.



Katanya, kumpulan penjenayah yang dilengkapi alat ‘jammer’ televisyen litar tertutup (CCTV) itu dikesan menyewa kenderaan Perodua Myvi milik warga Bangladesh untuk ke kediaman itu.

“Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk selepas mendapati bilik tidur utama dalam keadaan berselerak dan mendapati 30 utas jam tangan mewah pelbagai jenama, barang kemas dan wang tunai di anggarkan kira-kira RM7 juta hilang.

“Hasil siasatan ke atas CCTV milik jiran, polis berjaya mengesan kereta sewa terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, kegiatan suspek berjaya ditumpaskan selepas polis menahan tujuh individu pada 6,9, 11 dan 14 Jun lalu di sekitar ibu kota dan Bangkok, Thailand.

Hasil siasatan pasukannya mendapati, empat warga asing itu memasuki negara ini dengan melalui ‘jalan tikus’ negara jiran.



“Modus operandi yang digunakan kumpulan itu adalah mereka menyediakan perkakas yang boleh mematikan alat penggera dan CCTV.

“Mereka dengan mudahnya masuk ke kediaman terbabit kerana kawasan selamat yang mana ia berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan,” jelasnya.

Dua lelaki warga Amerika Latin berusia 20 dan 22 tahun pada 6 Jun lalu manakala pada 9 Jun, polis berjaya menahan empat lagi suspek berusia 30 hingga 40 tahun termasuk dua wanita tempatan dipercayai teman wanita salah seorang suspek.

“Hasil daripada tangkapan pertama dan kedua, polis menahan seorang lagi suspek warga tempatan di sekitar ibu kota dan seorang lagi suspek di tahan pihak Imigresen Thailand di Bangkok pada 14 Jun lalu.



“Kita merampas barang kes terdiri daripada 29 utas jam tangan pelbagai jenama, barang kemas (97) dan wang tunai RM4,550 dengan anggaran keseluruhan rampasan melebihi RM4 juta.

Tiga daripada suspek masih dalam tahanan reman sehingga 30 Jun ini manakala empat suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

“Lima suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

“Orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kepada Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-2297922 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button