Dua penguat kuasa ‘disuap’ RM100,000 lindungi pekerja asing tanpa permit
Oleh – Syeikh Baran
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Sarawak telah menahan reman dua penguat kuasa kerana disyaki menerima suapan secara bulanan berjumlah RM1,000 hingga RM2,000 daripada beberapa premis perniagaan di sekitar Bintulu, Sarawak.
Menurut sumber, bayaran bulanan diterima adalah bagi melindungi pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.
Katanya, dua pegawai termasuk seorang wanita berusia 40-an telah ditahan kira-kira pukul 8 malam, 24 Jun lalu ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Bintulu, Sarawak.
Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu petang semalam manakala Majistret Galvin Loo Wei Ling mengeluarkan perintah reman dibenarkan selama enam hari bermula hari ini sehingga 1 Julai.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022 dan menerima kesemua bayaran secara pindahan akaun bank milik suspek.
“Hasil siasatan setakat ini, SPRM telah berjaya merampas wang tunai kira-kira RM30,000 dan barang kemas anggaran RM70,000 dipercayai diperoleh secara rasuah oleh suspek.
“Siasatan sedang dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
Sumber – KOSMO! ONLINE.