Himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ tidak diluluskan Perbadanan Putrajaya

Oleh – Syeikh Baran


Himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ tidak diluluskan Perbadanan Putrajaya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR – AMIR KHALID

Polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai himpunan aman ‘Rakyat Lawan Anwar’ yang dijadualkan berlangsung di hadapan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penganjur himpunan itu tidak mempunyai kebenaran daripada pemilik tuan tanah iaitu Perbadanan Putrajaya untuk mengadakan himpunan berkenaan.



Katanya, surat pemberitahuan daripada penganjur mengenai himpunan itu diterima pihaknya pada 14 Jun lalu.

“Untuk makluman semua, berkenaan perhimpunan kegagalan pemerintah bertajuk ‘Rakyat Lawan Anwar, kita menerima surat pemberitahuan penganjur mengenai perhimpunan pada Sabtu ini di tempat letak kenderaan hadapan Kompleks Sri Perdana, Putrajaya dijangkakan pukul 4 petang.

“Namun, ia tertakluk kepada beberapa syarat terutamanya wajib mendapat kebenaran tuan tanah iaitu Perbadanan Putrajaya (PPJ) yang mana pihak berkuasa itu tidak membenarkan himpunan itu diadakan di situ atas alasan lokasinya tidak sesuai.

“Oleh sebab itu, kami (polis) menasihatkan penganjur berkenaan agar tidak meneruskan rancangan untuk mengadakan himpunan tersebut,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.



Menurut beliau, lokasi yang dipilih untuk mengadakan himpunan terbabit merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri dan menasihati orang ramai tidak turut menyertai perhimpunan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya juga mengesan satu video tular bertajuk ‘Rakyat Lawan Anwar’ yang mengajak orang ramai berhimpun pada Sabtu ini.

“Polis dalam perkara ini telah menerima sebanyak 85 laporan polis daripada orang ramai setakat ini berkenaan video viral yang mengajak orang ramai berhimpun Sabtu ini.

“Polis membuka kertas dan menyiasat di Bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian,” tambahnya.



Sehubungan itu, pihaknya telah memanggil dan mengadakan perjumpaan bersama penganjur perhimpunan itu sebanyak dua kali sekali gus menasihati supaya mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan namun mereka tetap mahu meneruskan himpunan yang tidak mematuhi undang-undang.

Rusdi menegaskan bahawa penganjur yang melanggar nasihat polis akan disabitkan kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Jika mereka turun berhimpun, kita akan ‘facilitate’ dengan menempatkan petugas keselamatan di lokasi-lokasi memantau situasi dan dalam masa sama akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Jika ada pelanggaran lain-lain dalam himpunan itu, tindakan juga boleh diambil pada masa itu, yang mana ada kuasa menyuraikan dan membuat tangkapan berlandaskan undang-undang yang ada.



“Kami mendapati kumpulan itu digelar diri ‘Demi Negara’ pernah berhimpun di kontinjen Selangor dan kita akan siasat jika ada pihak kenamaan yang berselindung di sebalik kumpulan penganjur itu,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button