Tiga ‘bookie’ bola sepak antarabangsa diberkas sekitar ibu negara

Oleh – Syeikh Baran


Tiga ‘bookie’ bola sepak antarabangsa diberkas sekitar ibu negara
Gambar Hiasan

Tiga lelaki termasuk seorang warga asing disyaki ‘bookie’ bola sepak antarabangsa ditahan dalam tiga serbuan perjudian Op Soga X di dua lokasi berbeza sekitar ibu negara.

Difahamkan, serbuan berkenaan dijalankan di Jalan Lima Chan Sow Lin dan Jalan Jejaka 7, Cheras, di sini, pada Isnin dan awal pagi tadi.



Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, tangkapan ke atas tiga individu itu dijalankan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Daerah Cheras.

Katanya, dalam serbuan pertama sekitar pukul 11.50 malam Isnin lalu, pihaknya telah menahan lelaki asing berusia 34 tahun dan merampas satu telefon bimbit jenama iPhone 11 Pro Max.

“Seterusnya, di lokasi serbuan kedua dan ketiga kira-kira pukul 1.20 pagi tadi, kita menahan dua lagi lelaki berusia 40 dan 44 tahun selanjutnya merampas dua telefon bimbit mereka.

“Suspek merupakan ejen judi bola antarabangsa secara peribadi dan tidak melibatkan sindiket.

“Mereka bergerak secara ‘lone ranger’ untuk elakkan dicam sebagai ‘bookie’ dan berapa sahaja amaun (bayaran) mereka akan ambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Menurut beliau, suspek ditahan susulan penemuan aplikasi dan perbualan berkait pertaruhan bola sepak di dalam telefon bimbit mereka.

“Tiga suspek masing-masing tidak berkait dan hanya aktif ketika musim perlawanan bola sepak peringkat dunia.

“Berikutan penahanan itu, hanya lelaki warga asing direman selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953,” ujarnya.



Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan,” pesannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button