Denmark rancang kenakan cukai kentut

Oleh – Syeikh Baran


Denmark rancang kenakan cukai kentut
Penternak akan dikenakan cukai AS$43 (RM203.03) bagi setiap tan gas rumah hijau yang dihasilkan oleh haiwan mereka. – Getty Images

Kerajaan Denmark akan mengenakan cukai baharu ke atas penternak berhubung gas rumah hijau yang dihasilkan oleh ternakan mereka khususnya lembu, lapor akhbar RT news semalam. 

Menteri Percukaian Denmark, Jeppe Bruus mengumumkan bahawa cukai pelepasan gas bagi lembu, babi dan biri-biri akan dilaksanakan mulai 2030.



Langkah itu dijangka memberi sumbangan besar kepada matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 70 peratus daripada paras 1990, menjelang akhir dekad ini ke arah matlamat sifar karbon.

“Kami akan mengambil langkah besar untuk menjadi negara neutral iklim pada 2045.

“Langkah ini merupakan cara untuk Denmark menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan cukai pelepasan karbon dioksida terhadap penternak,” kata Bruus. 

Penternak akan dikenakan cukai AS$43 (RM203.03) bagi setiap tan gas rumah hijau yang dihasilkan oleh haiwan mereka. 



Mereka bagaimanapun akan dikenakan potongan cukai pendapatan sebanyak 60 peratus pada awal pelaksanaan inisiatif tersebut. 

Langkah itu dijangka paling banyak memberi kesan kepada penternak lembu tenusu, memandangkan purata seekor lembu di negara itu menghasilkan sekitar enam tan metrik (6.6 tan) karbon dioksida setiap tahun. 

Ternakan lain seperti babi dan biri-biri mengeluarkan gas rumah hijau jauh lebih sedikit berbanding lembu.

Denmark merupakan pengeluar ternakan utama dengan populasi lembunya hampir 1.5 juta, demikian menurut statistik kerajaan. 



Inisiatif baharu itu dijangkan menjana pendapatan lebih AS$400 juta (RM1.8 bilion) kepada kerajaan setahun menerusi cukai karbon. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button