Duit tunai haji RM20,000 hangus dijilat api
Oleh – Syeikh Baran
Seorang peniaga santan berputih mata apabila tidak sempat menyelamatkan wang simpanan RM20,000 yang akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji selepas rumahnya di Jalan Telipot, di sini terbakar.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi tadi itu menyebabkan keseluruhan rumah milik Siti Rokiah Mahmood, 64, dua kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Wira selain tiga buah motosikal hangus.
Siti Rokiah berkata, dia bercadang untuk menyimpan wang berkenaan ke dalam akaun Tabung Haji sementara menunggu suaminya, Rusli Mamat, 65, mempunyai kelapangan masa.
Menurutnya, semasa kejadian, dia bersama keluarga sedang menginap dan bercuti di sebuah chalet di Tok Bali, Pasir Puteh
“Saya mengetahui rumah terbakar selepas dihubungi oleh anak saudara yang terdengar beberapa letupan di ruang memproses santan berhampiran rumah kami.
“Saya dan keluarga terus bergegas pulang. Saya amat terkejut melihat hampir keseluruhan rumah sudah terbakar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Siti Rokiah memberitahu, selain itu, barangan kemas di dalam rumah yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 turut hangus terbakar.
Sumber – KOSMO! ONLINE