PRK Sungai Bakap: Polis buka satu kertas siasatan
Oleh – Syeikh Baran
Polis Pulau Pinang membuka satu kertas siasatan berkaitan satu laporan merosakkan bahan-bahan kempen seperti bendera dan banner parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, di sini hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Sebanyak satu laporan polis diterima dan satu kertas siasatan dibuka meliputi kesalahan merosakkan bahan kempen,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak cuba mensabotaj bahan kempen jentera Perpaduan dalam PRK itu dengan merosakkan gegantung dan bendera parti PH.
Ketuanya, Muhammad Fadzli Roslan, mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang di sekitar kawasan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini telah diturunkan pihak tidak bertanggungjawab malah ada antaranya dibuang di dalam longkang.
Sumber – KOSMO! ONLINE