9 jam bertarung nyawa, pelajar jatuh tingkat 5 meninggal dunia

Oleh – Syeikh Baran


9 jam bertarung nyawa, pelajar jatuh tingkat 5 meninggal dunia
Pelajar tingkatan 1 disahkan maut hari ini selepas terjatuh dari tingkat 5 sekolah

Selepas sembilan jam bertarung nyawa, pelajar tingkatan satu yang parah selepas terjatuh tingkat lima bangunan sekolah, di sini semalam meninggal dunia di Hospital Kajang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, remaja berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi.



“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 2.30 petang mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan jatuh dari tempat tinggi.

“Berikutan itu, polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tersebut secara lebih terperinci.

“Siasatan dan semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Jelasnya, seramai lapan saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan.



“Siasatan sedang diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang pelajar ditemukan dengan kesan kecederaan pada kepala dan badan selepas dipercayai terjatuh bangunan sekolah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button