Bawa isteri, awek, ibu mentua untuk ‘diskaun akhir zaman’
Oleh – Syeikh Baran
Tindakan sebuah kedai motosikal mempromosikan jualan akhir zaman dan diskaun sehingga 90 peratus yang berunsurkan humor mendapat perhatian ramai orang.
Menerusi perkongsian video TikTok oleh @miqailai_kitchenette, iklan yang dipaparkan itu antaranya menyatakan, diskaun 10 peratus akan diberi kepada pelanggan yang membawa bawa isteri dan anak.
“Beli motosikal bawa isteri dan teman wanita (50 peratus), isteri, teman wanita dan mentua (90 peratus),” menurut tulisan pada iklan tersebut.
Rata-rata pengguna media sosial geli hati dengan tindakan pemilik kedai tersebut kerana berani mempromosikan produknya sehingga ke tahap itu.
“Zaman sekarang tulisan iklan mengancam betul. Tak perlu pergi sekolah belajar marketing (pemasaran). Promosi terbaik, mesti tauke tersengih-sengih tengok gelagat pelanggan,” komen @hasliza.
“Mantap promosi, kalau bawa isteri, mak mentua, teman wanita dan bakal ibu baru, pakej sekali tok imam dan saksi, mungkin percuma terus, dua motor tuan kedai bagi,” komen @rill.
“Lain macam promosi kedai ini, bahaya pun ada, ini bukan nak ajak tengok motor tapi boleh mengundang pergaduhan depan kedai,” komen @mohdfaizal.
Sehingga kini video tersebut mendapat 488,000 tontonan, 24,000 tanda suka dan 10,600 perkongsian.
Sumber – KOSMO! ONLINE