Nekad lompat kereta ketika dikejar polis, suspek curi kabel ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Nekad lompat kereta ketika dikejar polis, suspek curi kabel ditahan
Antara barang yang dirampas polis susulan penahanan lapan lelaki dan tiga wanita terbabit kes curi kabel.

Tindakan berani mati seorang suspek kes curi kabel yang terjun keluar daripada kereta bagi meloloskan diri akhirnya gagal apabila ditahan di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.23 pagi itu, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) memaklumkan telah melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan ketika membuat rondaan dan mengarahkan untuk berhenti.



“Secara tiba-tiba, kenderaan tersebut memecut laju ke arah Lebuh Raya SUKE dan salah seorang suspek telah bertindak terjun dari kenderaan namun berjaya ditahan.

“Juruteknik dari Telekom Malaysia (TM) membuat pemeriksaan mendapati, suspek disyaki mencuri kabel di Jalan Hillview, Hulu Kelang, di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 34 tahun sekitar pukul 5.30 pagi hingga 6.45 pagi kerana disyaki terbabit dengan kes yang disiasat.

Kata beliau, suspek kedua juga gagal mengemukakan kad pengenalan diri semasa ditahan.

“Semalam, sekitar pukul 5 petang hingga 6.30 petang, pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya membuat tangkapan susulan terhadap enam lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 17 tahun hingga 33 tahun.



“Kesemua mereka ditahan di Bandar Botani dan Jalan Taman Kem Pelabuhan, Klang, Selangor disyaki terlibat dengan kes yang disiasat,” ujarnya.

Tambah Mohd Azam, turut dirampas 76 batang kabel yang dipotong pelbagai ukuran, empat buah kereta, tiga mesin gerudi, satu mesin kimpal, sepuluh gulung tali sling, satu kuku kambing, dua besi ‘main hole key’ serta empat telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Kata beliau, semakan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Sembilan daripada yang ditahan mempunyai dua hingga 14 rekod kesalahan lampau berkait dadah dan jenayah.

“Suspek aktif mencuri kabel sejak satu tahun lalu. Siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan empat kes di daerah Ampang Jaya, dua kes di daerah Shah Alam serta tiga kes dalam Kontinjen Melaka.



“Modus operandi suspek menyasarkan kabel TM bawah tanah dengan memotong kabel dan menarik menggunakan kereta jenis trak pikap,” katanya.

Kata Mohd Azam, tangkapan pertama dua suspek dibenarkan reman selama empat hari bermula kelmarin sehingga esok manakala tangkapan susulan sembilan suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu hadapan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button