Orang ramai kongsi gambar mayat Zayn Rayyan disiasat

Oleh – Syeikh Baran


Orang ramai kongsi gambar mayat Zayn Rayyan disiasat
Hussein dan Zayn Rayyan (gambar kecil).

Polis menyiasat penularan gambar memaparkan kecederaan pada mayat didakwa Zayn Rayyan yang tersebar sejak malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.



“Orang ramai diminta tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

“Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana individu didapati berkongsi kandungan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, laporan dibuat oleh pegawai kanan polis sekitar pukul 12.15 tengah hari, hari ini.

Sejak malam tadi, beberapa keping gambar dipercayai mayat seorang kanak-kanak terbabit ketika prosedur proses bedah siasat tular menerusi aplikasi Telegram.



Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari sebelum polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Berikutan itu, pada 31 Mei lalu, polis mengesahkan penahanan ibu bapa Zayn Rayyan sebelum dituduh di Mahkamah PJ pada 12 Jun di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, tular kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan di aplikasi yang sama.



Rentetan itu, pihak polis telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menyiasat pihak yang menyebarkan maklumat berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button