Pemandu e-hailing muslim tidak boleh hantar penumpang tempat maksiat
Oleh – Syeikh Baran
Muslim yang bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak boleh menghantar penumpang ke kelab malam, mahupun pusat hiburan yang sinonim dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat, minuman keras dan seumpamanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya berpendapat hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu ke arah maksiat dan dosa kepada Allah SWT.
“Justeru, jika dapat menolak dengan baik tanpa menjejaskan pekerjaannya itu, maka dia hendaklah melakukannya.
“Begitu juga jika perkara tersebut berterusan, maka pada masa sama dia hendaklah berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredai oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi penjelasan soal jawab agama pada aplikasi Alinarah bagi menjawab soalan pengirim mengenai hukum memandu e-hailing dan mendapat tempahan menghantar pelanggan ke pusat hiburan atau kelab malam.
Zulkifli turut menjelaskan mengenai situasi pemandu yang kadangkala atau jarang-jarang menghantar penumpang di tempat terkait maksiat dan dosa selain apabila menolak tempahan akan menjejaskan pekerjaannya.
“Sekiranya asas pekerjaannya itu adalah baik yang mana dia sepatutnya hanya membawa penumpang ke destinasi diinginkan atau dituju, dan hanya kadang-kadang sahaja dalam situasi tertentu (dan jarang berlaku) dia terpaksa membawa penumpang ke tempat tertentu yang berkait maksiat dan dosa, kerana dikhuatiri jika kerap menolak untuk membawa penumpang atau seumpamanya, maka dia boleh dibuang daripada pekerjaan tersebut atau menjejaskan pekerjaannya.
“Jadi, ketika dalam situasi tersebut, apatah lagi dalam keadaan yang amat sukar memperoleh pekerjaan untuk menampung hidupnya, maka tidak mengapa dan semoga Allah SWT mengampuni ‘ketergelincirannya’ itu.
“Akan tetapi dia hendaklah mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang haram tersebut (iaitu membawa penumpang ke kelab malam), lalu disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE